Senin, 20 April 2015

TAWAKAL YANG MENYELAMATKAN DARI KEBAKARAN



            ABU Darda’ ialah seorang sahabat yang akrab dengan Nabi Muhammad. Beliau bersikap rendah diri dan bertakwa kepada Allah. Beliau banyak mendapat hadis daripada Nabi Muhammad.
            Pada suatu hari, Abu Darda’ mendapat berita mengenai kebakaran yang berlaku di kawasan rumahnya. Pada masa itu, Abu Darda’ berada di tempat kerjanya. Perjalanan dari rumah ke tempat kerjanya agak jauh.
            Kemudian, datang seseorang memberitahunya. “Ada rumah terbakar! Ada rumah terbakar! Semua rumah di kawasan tempat tinggal di kampung sebelah sana semua sudah terbakar!”
            Abu Darda’ mahu mendapat kepastian mengenai berita kebakaran itu. Beliau menghampiri lelaki yang menyampaikan berita itu.
            “Betulkah apa yang kamu cakap ini?” tanya Abu Darda’ kepada orang itu.
            “Ya. Saya baru sahaja datang dari kawasan rumah itu. Api semakin marak dan menjilat rumah-rumah yang berada di kawasan itu!” terang orang itu.
            Abu Darda’ langsung tidak terkejut dengan berita kebakaran itu. Malah, beliau tidak risau sekiranya rumah beliau sendiri yang terbakar. Lagi pula, rumah beliau berada jauh dari tempat beliau bekerja. Sebaliknya, Abu Darda’ segera menyelesaikan tugasnya.
            “Saya bertawakal kepada Allah atas apa yang berlaku,” bisik Abu Darda’ lagi.
            Abu Darda’ terus menyelesaikan pekerjaannya. Bagi Abu Darda’, beliau hanya dapat bertawakal kepada Allah. Sekiranya rumahnya musnah dijilat api, itu adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah. Beliau dapat menerima kenyataan itu dengan tenang.
            “Alhamdulillah, kerja saya hari ini sudah selesai. Saya mau pulang ke rumah segera,” katanya sendiri.
            Petang itu, selepas selesai bekerja, Abu Darda’ pulang ke rumahnya seperti biasa. Perjalanan ke rumahnya agak jauh.
            Sampai sahaja di kawasan tempat tinggalnya, beliau melihat rumah-rumah yang ada di sana habis musnah terbakar. Tidak ada satupun rumah yang berdiri teguh dan selamat dari kebakaran itu.
            “Habis semua rumah di sini terbakar di jilat api,” bisik Abu Darda’ selepas melihat rumah-rumah yang hangus terbakar itu.
            Abu Darda’ meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke rumahnya. Tiba-tiba, beliau melihat keadaan rumahnya masih bagus.
            “Subhanallah. Saya bersyukur kepada Allah. Rumah saya tidak terbakar,” kata Abu Darda’ gembira. Beliau terkejut dan gembira melihat rumahnya terselamat dan tidak terbakar sedikit pun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar